Latar Belakang Kebangkitan_Semula_Pengganas_Komunis_(1968-1989)

Selepas Darurat diisytiharkan tamat tahun 1960, gerila-gerila Komunis berundur masuk ke kawasan Selatan Thailand dan buat beberapa tahun tidak membuat serangan dan penyusupan ke Malaysia. Malahan buat seketika, pasukan keselamatan Malaysia boleh menumpukan perhatian kepada pengukuhan bilangan anggota tentera, melengkapkan pasukan dengan kelengkapan baru dan meningkatkan latihan.Konfrontasi dengan Indonesia menunjukkan Tentera Darat Malaysia belum mencapai kekuatan mencukupi untuk menentang secara pencerobohan oleh kuasa asing. Keperluan mendapatkan bantuan pasukan tentera Komanwel khususnya di Borneo meyakinkan Parti Komunis Malaya dan Parti Komunis Kalimantan Utara bahawa Tentera Darat Malaysia belum mencapai tahap kekuatan yang membolehkan mereka menghadapi ancaman tanpa perlu meminta bantuan pasukan luar.

Di Vietnam, kumpulan Komunis Vietnam Selatan dan Vietnam Utara sudah menunjukkan kekuatan mereka dengan melancarkan Serangan Tet. Dalam serangan itu, mereka berjaya menawan bangunan Kedutaan Amerika Syarikat di Saigon, sebelum ditewaskan oleh pasukan-pasukan bantuan Amerika Syarikat. Kejayaan pihak Komunis di Vietnam mendorong Parti Komunis Malaya dan Parti Komunis Kalimantan Utara untuk melancarkan pemberontakan bagi menumpaskan kerajaan Malaysia.